Tuesday, 27 November 2012

Kemashyuran DATC Iktiraf Graduan


Baru-baru ini telah berlangsung Istiadat Konvokesyen Ke-77 di mana melibatkan seramai 27, 626 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing bertempat di Dewan Agong Tuanku Canselor atau lebih dikenali sebagai DATC.

Jika sebelum ini, Dewan Sri Budiman diangkat sebagai tempat berlangsungnya istiadat konvokesyen para graduan UiTM, namun kini DATC yang begitu megah rekaannya telah diiktiraf bagi menggantikan dewan yang lama  sebagai tempat rasmi istiadat konvokesyen UiTM di mana dewan ini mampu menampung hampir 5,000 orang di dalam satu masa bersesuaian dengan jumlah graduan UiTM yang semakin ramai.

Istiadat yang berlangsung baru-baru ini merupakan kali ketiga disempurnakan di dewan ini dan ianya dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan kemudahan yang lengkap.

Pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah yang telah dimahsyurkan selaku Canselor keempat UiTM berkenan berangkat bagi menyempurnakan pembukaan konvokesyen pada kali ini.

Sekitar majlis itu berlangsung, aktiviti jualan bunga ternyata mendapat perhatian bukan sahaja daripada ibu bapa malah sahabat handai sebagai hadiah untuk meraikan kejayaan mereka. Terdapat pelbagai gerai-gerai cenderamata yang terdapat di perkarangan dewan tersebut.

Selain itu juga, para tetamu tidak perlu risau akan ruang istirehat kerana di perkarangan dewan juga terdapat beberapa gerai yang menawarkan pilihan makanan dan minuman untuk para tetamu menjamu selera.

Ruang legar di perkarangan DATC yang luas mampu memberi keselesaan kepada para tetamu untuk menyaksikan istiadat konvokesyen dari luar dewan utama menerusi skrin televisyen yang disediakan.

Secara keseluruhannya, DATC bukan sahaja menjadi tempat untuk menyempurnakan istiadat konvokesyen malah ianya juga menjadi satu mercu tanda baru UiTM yang telah melahirkan ramai graduan berpotensi dan mampu berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi. 


                                                                        Terima Kasih


Tuesday, 6 November 2012

Dilema Kebebasan Media



Tiada apa yang lebih menarik perhatian saya melainkan memberi pandangan mengenai kebebasan media yang dianggap wajar dilaksanakan. Nyata, apa yang dikatakan oleh Dr. Rahmat Ghazali di dalam artikelnya pada kali lebih cenderung untuk mengangkat persoalan tentang berita dan maklumat yang harus diberi kebebasan. Apabila bercakap mengenai berita, sudah pasti medium yang berkait adalah media. Persoalannya, adakah media harus diberi kebebasan?. Berdasarkan perangkaan yang tertera di dalam artikel http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-1kebebasan-berita-dan-informasi.html , jumlah pengguna internet di Malaysia semakin meningkat dan saya yakin daripada jumlah pengguna tersebut terdiri daripada golongan pertengahan seperti remaja.

Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah jika media mempunyai kebebasan untuk menyampaikan maklumat dan informasi, kemungkinan maklumat yang ingin disampaikan itu tidak sepatutnya dibaca, dilihat, ditonton atau dikaji oleh golongan remaja. seperti yang kita tahu, golongan remaja kian terikat dengan penggunaan internet dan mereka sanggup menghabiskan masa dan juga wang ringgit semata-mata untuk melayari internet.

Secara keseluruhannya, tidak kesemua daripada golongan ini ingin melayari internet hanya untuk mendapatkan hiburan. Tidak dinafikan bahawa mereka juga menggunakan teknologi untuk mendapatkan ilmu dan maklumat. Namun, secara tidak langsung mereka akan turut terdedah dengan maklumat yang tidak sepatutnya kerana iklan atau ‘spam’ akan muncul sama ada secara imbasan atau ‘pop ups’ pada skrin. Inilah antara faktor di mana media bukan diberikan hak sepenuhnya untuk bebas malah perlu ada penapisan daripada pihak yang berkuasa. Hal ini lebih memudaratkan apabila internet boleh diakses melalui telefon pintar yang kini mampu dimiliki oleh golongan remaja.

Kecenderungan dan keprihatinan terhadap persoalan ini boleh dilihat menerusi buku The Death and Life of American Journalism yang ditulis oleh Robert McChesney di mana menerusi tulisannya beliau mengatakan tahap kebebasan media yang tinggi boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya yang sihat namun kebebasan media melalui cara yang salah boleh mematikan budaya dan masyarakat dalam sekelip mata.

Kebebasan media boleh menjadi pemacu bagi masyarakat yang maju dan terdidik di mana dilimpahkan dengan maklumat yang menyumbang kepada pembangunan. Walaupun kebebasan media itu dibimbangi oleh banyak pihak terutama kerajaan, tetapi inilah yang membentuk kesedaran masyarakat terutamanya yang berkaitan dengan kepentingan mereka.


Keratan Akhbar 17 Julai 2012

Tuesday, 23 October 2012

Gangguan Siber dari Pena Baru




Mungkin tidak ramai yang mengetahui akan makna perkataan ‘Balkan’ atau secara umumnya konsep yang diistilahkan sebagai ‘Balkanisasi’. Namun, perkataan atau konsep ini telah menarik perhatian saya untuk mengulas serba sedikit mengenai apa yang diperkatakan oleh Dr. Rahmat Ghazali (RG) lebih-lebih lagi apabila balkanisasi ini dikaitkan dengan siber atau erti kata lainnya, media. Konsep yang pada asalnya diterjemahkan kepada proses pemisahan negara-negara Balkan kini menjadi tuntas yang besar kepada dunia siber terutamanya internet. Jika tidak, konsep balkanisasi ini hanya akan wujud dalam pemikiran umat Islam untuk mengingatkan mereka mengenai peristiwa hitam yang berlaku di Bosnia di mana pembunuhan etnik secara besar-besaran berlaku namun kini ianya bukan sekadar akan mencipta sebuah peristiwa malah mencetuskan keterpisahan pada saban hari.

Ada kebenarannya apabila Dr.RG memperlihatkan tentang segregasi yang dikatakan sinonim dengan Internet kerana  pengguna internet akan mencetuskan ‘pemisahan’ antara pengguna-pengguna lain yang tidak sependapat dengan minat, idea dan pegangan mereka. Apabila sesebuah kelompok mempunyai minat yang sama, idea yang ingin dikongsikan akan diterjemahkan menerusi internet supaya kelompok ini mempunyai lebih ramai penyokong dan mengharapkan perhatian daripada orang ramai. Situasi ini mungkin akan merapatkan lagi hubungan sesama mereka. 

Namun, keadaan yang lebih buruk akan berlaku jika idea tersebut tidak dipersetujui oleh orang ramai. Kelompok kedua ini akan merasa tercabar jika mereka hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Sudah pasti kelompok ini tidak akan membiarkan idea yang diberikan oleh kelomok pertama bebas begitu sahaja. Nyata, mereka juga inginkan penyokong mereka tersendiri. Segala-galanya bermula di internet, yang pastinya mudah dan cepat untuk menerima tindak balas lebih-lebih lagi tindak balas yang negatif. Secara jelas, ini adalah satu pernyataan yang mungkin Dr. RG ingin gambarkan tentang falsafah demokrasi yang boleh tergugat akibat daripada kebebasan internet yang melampau yang diterjemahkan menerusi artikelnya iaitu Balkanisasi Siber : Gangguan Semangat 1Malaysia.

Bukan seratus-peratus untuk saya mempersetujui apa yang diperkatakan oleh Dr. RG, namun secara dasar yang dapat dilihat ada kebenarannya apabila balkanisasi siber yang berlaku menjejaskan gangguan semangat 1Malaysia. Sebagai contohnya baru-baru ini iaitu pada tarikh 20 Oktober 2012, Piala Malaysia 2012 berlangsung di mana menemukan pasukan Kelantan dan ATM. Ucapan tahniah dan syukur boleh diberikan kepada pemain dan penyokong kedua-dua pasukan kerana tiada tragedi buruk yang berlaku. 

Namun, jika kita imbas tragedi yang berlaku pada perlawanan Piala Malaysia 2009, pastinya ia akan membawa kesan buruk bukan sahaja kepada peminat sukan bola sepak malah seluruh rakyat Malaysia. Bakar kerusi, bakar stadium, bakar trak polis dan rusuhan, itulah yang pernah berlaku pada tahun tersebut. Rakaman di bawah menunjukkan peristiwa yang berlaku pada 07 November 2009 yang di muat turun di Youtube. 




Dalam konteks ini, bukan peristiwa tersebut yang ingin saya tekankan tetapi penularan kejadian tersebut tersebar luas di laman sesawang sehinggakan pihak yang tidak berpuas hati membidas dengan kata-kata kesat dan menyalahkan antara satu sama lain. Mungkin kejadian itu tidak diketahui oleh orang ramai jika tidak di muat turun di internet. Namun apa yang terjadi di mana segregasi mula menjadi ganas seolah-olah membuka pekung di dada. Masing-masing memberi komen dan pandangan yang negatif. Atau mungkin medium seperti internet hanya berfungsi semata-mata untuk membina koloni yang berbeza dan bermusuh antara sesama masyarakat. Apakah itu yang dimaksudkan dengan semangat 1Malaysia?? Atau mungkin itu juga yang dikatakan oleh Dr. RG mengenai Balakanisasai Siber : Gangguan Semangat 1Malaysia.